ikut al-Quran dan Sunnah:

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa

Saturday, December 17, 2011

Biografi Ulama Nusantara

Syeikh Nawawi al-Bantani,

(digelar Imam Nawai kedua), Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah




NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang.


Pada penghujung abad ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.


Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini.


Rasanya gelaran demikian memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.


Apakah sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.


LAHIR DAN PENDIDIKAN, Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314 Hijrah/1897 Masehi.


Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.

Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat dicatat di sini. Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan Mesir.

Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang.


Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu. Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya.


Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani. MURID MURID, Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab.


Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani.


Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi).


Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama.


Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.

Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya.


Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi.


Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang dikaderkan di Mekah.


KARYA KARYA, Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini.

Saya telah memiliki karya ulama Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada karya orang lain.

Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat sekadarnya saja, ialah:


1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah


Syeikh Muhammad Khalil bin Abdul Latif

Guru ulama Jawa, Madura, Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PULAU Madura yang terletak di Jawa Timur ramai melahirkan ulama besar sejak zaman dulu hingga sekarang. Salah seorang di antara mereka yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Kiyai Haji Muhammad Khalil bin Kiyai Haji Abdul Lathif bin Kiyai Hamim bin Kiyai Abdul Karim bin Kiyai Muharram bin Kiyai Asrar Karamah bin Kiyai Abdullah bin Sayid Sulaiman.

Yang terakhir ini (Sayid Sulaiman) dikatakan adalah cucu Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati yang terkenal itu. Salasilah selanjutnya, adalah Syarif Hidayatullah itu putera Sultan Umdatuddin @ Umdatullah @ Abdullah yang memerintah di Cam (Campa).


Ayahnya pula ialah Sayid Ali Nurul Alam bin Sayid Jamaluddin al-Kubra (wafat di Tuwajok, Sulawesi), dan seterusnya hingga ke atas. Memperhatikan salasilah di atas, maka bererti ulama yang berasal dari Pulau Madura yang diriwayatkan ini, adalah daripada asal salasilah dengan Syeikh Nawawi al-Bantani atau Imam Nawawi ats-Tsani ulama yang berasal dari Banten, Jawa Barat, yang riwayatnya telah dimuatkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 7 Februari 2005.

Dalam salasilah Syeikh Nawawi al-Bantani, Sayid Ali Nurul Alam itu bernama Ali Nuruddin, disebutkan al-mutawaffa fil Anam bis Shin (maksudnya wafat di Anam, negeri China).Dalam salasilah ulama Patani, Ali Nurul `Alam itu bernama Ali al-Masyhur al-Laqihi. Pada masa mudanya pernah ke Jawa, kemudian menyebarkan Islam ke Madura dan Sumbawa, kemudian pulang ke Cam/ Campa dan seterusnya ke Patani memperoleh beberapa orang anak. Di antaranya bernama Wan Muhammad Shalih al-Laqihi al-Fathani. Beliau ini memperoleh seorang anak, iaitu Zainal Abidin @ Faqih Wan Musa al-Fathani, kuburnya telah ditemui di Kampung Tok Diwa, Sena, Patani.


Beliau adalah ulama yang membuka Kampung Sena, Patani. Memperhatikan catatan ini bererti bahawa Wan Muhammad Shalih al-Laqihi adalah saudara seayah dengan Sultan Umdatuddin di Cam/Campa itu kerana kedua-duanya putera Ali Nurul `Alam. Bererti pula bahawa Faqih Wan Musa al- Fathani adalah saudara sepupu dengan Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati, salah seorang Wali Sembilan (di Jawa) yang sangat terkenal itu, kerana kedua-duanya adalah cucu Ali Nurul `Alam.

Wan Muhammad Shalih al-Laqihi keturunan lurusnya ke bawah, iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ali Nurul `Alam yang tersebut itu wafat di Cam/Campa, yang oleh kebanyakan penulis, terutama penulis-penulis Indonesia, mengatakan di Anam itu. Dalam catatan ulama Patani disebut bahawa jenazah Ali Nurul `Alam itu telah dipindahkan di Binjal Lima Patani. Daripada apa yang disebutkan di atas, salasilah Kiyai Khalil al-Maduri (Madura) selain satu salasilah dengan Syeikh Nawawi al-Bantani, bererti juga satu salasilah dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Catatan ini saya nyatakan di sini adalah hasil penyelidikan terkini, dan keterangan selengkapnya saya bicarakan dalam Tabaqat Ulama Asia Tenggara jilid 1


PENDIDIKAN, Kiyai Muhammad Khalil dilahirkan pada 11 Jamadilakhir 1235 Hijrah/27 Januari 1820 Masihi di Kampung Senenan, Desa Kemayoran, Kecamatan Bangkalan, Kabupaten Bangkalan, Pulau Madura, Jawa Timur. Kiyai Haji Muhammad Khalil berasal daripada keluarga ulama. Pendidikan dasar agama diperolehnya langsung daripada keluarga. Menjelang usia dewasa, beliau dikirim ke berbagai-bagai pondok pesantren.


Sekitar 1850-an, ketika usianya menjelang tiga puluh, Kiyai Muhammad Khalil belajar kepada Kiyai Muhammad Nur di Pondok-pesantren Langitan, Tuban, Jawa Timur. Dari Langitan beliau pindah ke Pondok-pesantren Cangaan, Bangil, Pasuruan. Kemudian beliau pindah ke Pondok-pesantren Keboncandi. Selama belajar di pondok-pesantren ini beliau belajar pula kepada Kiyai Nur Hasan yang menetap di Sidogiri, 7 kilometer dari Keboncandi. Kiyai Nur Hasan ini, sesungguhnya, masih mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Dalam masa masih menjadi santeri/pelajar di beberapa pondok-pesantren di Jawa lagi Muhammad Khalil telah menghafal beberapa matan, yang pasti ialah Matan Alfiyah Ibnu Malik (1,000 bait) mengenai ilmu nahu yang terkenal itu. Selanjutnya beliau juga seorang hafiz al-Quran tiga puluh juzuk.


Beliau berkemampuan dalam qiraah tujuh (tujuh cara membaca al-Quran). Tidak jelas apakah al-Quran tiga puluh juzuk telah dihafalnya sejak di Jawa atau pun setelah menetap di Mekah berpuluh-puluh tahun. Pada 1276 Hijrah/1859 Masihi, Kiyai Muhammad Khalil melanjutkan pelajarannya ke Mekah.


Di Mekah Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri bersahabat dengan Syeikh Nawawi al-Bantani. Ulama-ulama dunia Melayu di Mekah yang seangkatan dengan Syeikh Nawawi al-Bantani (lahir 1230 Hijrah/1814 Masihi), Kiyai Khalil al-Manduri (lahir 1235 Hijrah/1820 Masihi), Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (lahir 1233 Hijrah/1817 Masihi), Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (lahir 1234 Hijrah/1818 Masihi), Kiyai Umar bin Muhammad Saleh Semarang dan ramai lagi.


Di antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Mustafa bin Muhammad al-Afifi al-Makki, Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud asy-Syarwani dan ramai lagi. Beberapa sanad hadis yang musalsal diterima daripada sahabatnya Syeikh Nawawi al-Bantani dan Abdul Ghani bin Subuh bin Ismail al-Bimawi (Bima, Sumbawa). Walau pun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya, iaitu peringkat anaknya, namun kerana tawaduknya, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri pernah belajar kepada ulama yang berasal dari Patani itu.

Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri termasuk generasi pertama mengajar karya Syeikh Ahmad al-Fathani berjudul Tashilu Nailil Amani, tentang nahu dalam bahasa Arab, di pondok-pesantrennya di Bangkalan. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang tersebut kemudian berpengaruh dalam pengajian ilmu nahu di Madura dan Jawa sejak itu, bahkan hingga sekarang masih banyak pondok-pesantren tradisional di Jawa dan Madura diajarkan kitab itu.


Saya tidak sependapat dengan tulisan yang menyebut bahawa Kiyai Muhammad Khalil teman seangkatan dengan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Muhammad Yasin Padang (majalah Amanah 42 dan Ensiklopedia Islam Indonesia), kerana sewaktu Kiyai Muhammad Khalil ke Mekah tahun 1276 Hijrah/1859 Masihi, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau baru dilahirkan (1276 Hijrah/1859-1860 Masihi).


Syeikh Muhammad Yasin Padang pula belum dilahirkan, beliau jauh kebelakang daripada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Syeikh Yasin Padang meninggal dunia sekitar tahun 1990an. Kemungkinan ayah Syeikh Yasin Padang, iaitu Syeikh Isa bin Udik Padang itulah yang bersahabat dengan Syeikh Muhammad Khalil al-Maduri.Mengenai ilmu thariqat, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri belajar kepada beberapa orang ulama thariqat yang terkenal di Mekah pada zaman itu, di antaranya daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas diterimanya baiah dan tawajjuh Thariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.


Thariqat Naqsyabandiyah juga diterimanya daripada Sayid Muhammad Shalih az-Zawawi, dan selainnya ramai lagi, di antaranya termasuk kepada Syeikh Utsman Dimyathi juga.Sewaktu berada di Mekah untuk perbelanjaannya sehari-hari, Kiyai Muhammad Khalil bekerja mengambil upah sebagai penyalin risalah-risalah yang diperlukan oleh para pelajar.

Diriwayatkan bahawa pada waktu itulah timbul ilham antara mereka bertiga, iaitu: Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri dan Syeikh Saleh as-Samarani (Semarang) menyusun kaedah penulisan huruf Pegon. Huruf Pegon ialah tulisan Arab yang digunakan untuk tulisan dalam bahasa Jawa, Madura dan Sunda. Huruf Pegon tidak ubahnya tulisan Melayu/Jawi yang digunakan untuk penulisan bahasa Melayu.

MURID MURIDNYA YANG TERKENAL, Oleh sebab Kiyai Muhammad Khalil cukup lama belajar di beberapa pondok-pesantren di Jawa dan Mekah, maka sewaktu pulang dari Mekah, beliau terkenal sebagai ahli/pakar nahu, fikah, thariqat ilmu-ilmu lainnya. Untuk mengembangkan pengetahuan keislaman yang telah diperolehnya, Kiyai Muhammad Khalil selanjutnya mendirikan pondok-pesantren di Desa Cengkebuan, sekitar 1 kilometer arah Barat Laut dari desa kelahirannya.


Pondok-pesantren tersebut kemudian diserahkan pimpinannya kepada anak saudaranya, sekali gus adalah menantunya, ialah Kiyai Muntaha. Kiyai Muntaha ini berkahwin dengan anak Kiyai Muhammad Khalil bernama Siti Khatimah. Adapun beliau sendiri (Kiyai Khalil) mendirikan pondok-pesantren yang lain di Kota Bangkalan, letaknya sebelah Barat kota tersebut dan tidak berapa jauh dari pondok-pesantrennya yang lama. Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri adalah seorang ulama yang bertanggungjawab terhadap pertahanan, kekukuhan dan maju-mundurnya agama Islam dan bangsanya.


Beliau sedar benar bahawa pada zamannya, bangsanya adalah dalam suasana terjajah oleh bangsa asing yang tidak seagama dengan yang dianutnya. Beliau dan keseluruhan suku bangsa Madura seratus peratus memeluk agama Islam, sedangkan bangsa Belanda, bangsa yang menjajah itu memeluk agama Kristian.


Sesuai dengan keadaan beliau sewaktu pulang dari Mekah telah berumur lanjut, tentunya Kiyai Muhammad Khalil tidak melibatkan diri dalam medan fizik, memberontak dengan senjata tetapi mengkaderkan pemuda di pondok pesantren yang diasaskannya.


Kiyai Muhammad Khalil sendiri pernah ditahan oleh penjajah Belanda kerana dituduh melindungi beberapa orang yang terlibat melawan Belanda di pondok pesantrennya. Sama ada tokoh ulama mahu pun tokoh-tokoh lainnya yang terlibat memperjuangkan kemerdekaan Indonesia tidak sedikit yang pernah mendapat pendidikan daripada Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri itu.


Di antara sekian ramai murid Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri yang tidak asing lagi, yang cukup umum diketahui, dalam sejarah perkembangan agama Islam dan bangsa Indonesia ialah Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (pendiri Pondok-pesantren Tebuireng, Jombang, dan pengasas Nahdhatul Ulama atau singkatannya NU); Kiyai Haji Abdul Wahhab Hasbullah (pendiri Pondok-pesantren Tambakberas, Jombang); Kiyai Haji Bisri Syansuri (pendiri Pondok-pesantren Denanyar); Kiyai Haji Ma'shum (pendiri Pondok-pesantren Lasem, Rembang, adalah ayahanda Kiyai Haji Ali Ma'shum), Kiyai Haji Bisri Mustofa (pendiri Pondok-pesantren Rembang); dan Kiyai Haji As'ad Syamsul `Arifin (pengasuh Pondok-pesantren Asembagus, Situbondo).


Salah seorang muridnya yang menyebarkan Islam melalui Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhariyah ialah Kiyai Haji Fathul Bari. Kiyai Haji Fathul Bari yang tersebut sangat ramai muridnya di Madura, Jawa dan Kalimantan Barat. Sebagaimana gurunya, Kiyai Haji Fathul Bari juga dikatakan banyak melahirkan kekeramatan. Kubur beliau terletak di Kampung Peniraman, Kecamatan Sungai Pinyuh, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat. Dan masih ramai murid Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri yang muncul sebagai tokoh-tokoh besar yang belum sempat dicatat dalam artikel ringkas ini. Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri, wafat dalam usia yang lanjut, 106 tahun, pada 29 Ramadan 1341 Hijrah/14 Mei 1923 Masihi.


Syeikh Mahfuz Al-Tarmasi Ulama Hadis Dunia Melayu

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 21 Mac 2005, telah diperkenalkan Kiyai Muhammad Saleh Darat, ulama besar Jawa Tengah. Kali ini diperkenalkan pula salah seorang murid beliau yang menjadi ulama besar di Mekah, iaitu Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi/Termas. Gurunya banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Jawa, dan hanya sebuah dalam bahasa Melayu. Berbeza dengan muridnya ini.

Beliau yang banyak menghasilkan karya yang menjadi rujukan ulama peringkat antarabangsa, hanya menulis dalam bahasa Arab. Oleh itu beliau tidak banyak dikenali oleh masyarakat awam dunia Melayu. Syeikh Muhammad Mahfuz Termas lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rejab 1338 H/20 Mac 1920 M.PENDIDIKANUntuk mengetahui latar belakang pendidikannya, nama para guru dan jenis ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas tidaklah terlalu sukar kerana dalam peringkat pengenalan tercatat dalam beberapa buah karya beliau.

Di bawah ini saya terjemahkan dan petik sebahagian daripada riwayat yang tercantum dalam karya Muhibah zil Fadhli jilid ke-4. Kitab-kitab yang dipelajari daripada ayahnya sendiri, Syeikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi, ialah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Manhaj al-Qawim, Fat-h al-Mu'in, Fat-h al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain hingga sampai Surah Yunus saja. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Sekurang-kurangnya dalam rangkaian ilmu fikah, tasawuf dan tafsir al-Quran.


Setelah memperoleh ilmu yang banyak daripada orang tuanya sendiri, Syeikh Muhammad Mahfuz Termas berpindah ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab. Kitab yang terakhir ini mengenai ilmu falak. Perlu juga saya sebutkan bahawa kitab ini yang disebarkan berupa cetakan adalah ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Muhammad Mahfuz Termas dari Semarang berpindah pula ke Mekah. Guru-gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam).


Dalam masa yang sama belajar kepada Syeikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya. Juga kepada Syeikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib.

Juga kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Sahih al-Bukhari. Juga kepada Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abi Daud. Sunan Tirmizi dan Sunan Nasai. Juga kepada Sayid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh.


Juga kepada Syeikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi. Juga kepada Sayid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik. Ulama yang paling banyak mengajarnya pelbagai ilmu secara keseluruhannya ialah Sayid Abi Bakr bin Sayid Muhammad asy-Syatha.


Setiap guru yang tersebut bersambung kepada ulama yang lebih ke atas yang dinamakan sanad atau salasilah. Mengenainya Syeikh Muhammad Mahfuz Termas mencatatnya dengan lengkap dalam karyanya Kifayatul Mustafid. Memperhatikan tulisan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang menyebut bahawa ilmu terbanyak diperolehnya ialah daripada Sayid Abi Bakr asy-Syatha, pada masa beliau berada di Mekah, maka dapat disimpulkan sahabat-sahabat seperguruan dengannya ialah Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M).


Ulama Patani ini lebih tua sekitar dua tahun daripada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas (1285 H/1868 M - 1338 H/1920 M), Mufti Pulau Pinang Haji Abdullah Fahim, lebih muda setahun (lahir 1286 H/ 1869 M), Tok Kenali, lebih muda dua tahun (lahir 1287 H/ 1871 M) dan lain-lain. Saya berkesimpulan sungguh pun nama-nama para guru telah disebut oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas sendiri, namun masih banyak ulama lain gurunya yang belum beliau sebut.


Di antara mereka seumpama Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain. Berdasarkan banyak maklumat saya pastikan bahawa Syeikh Muhammad Mahfuz Termas juga pernah pernah belajar kepada Syeikh Nawawi al-Bantani. Hubungan dan kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sayid Abi Bakr asy-Syatha adalah sangat erat, kerana sebuah karangan Sayid Abi Bakr asy-Syatha yang berjudul I'anatut Thalibin Syarh Fat-hil Mu'in yang selesai ditulis bulan Syawal 1300 H.

Sebelum cetakan pertama kitab tersebut ditashih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayid Abi Bakr asy-Syatha sendiri dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama ada sebelum dicetak (masih manuskrip) mahu pun setelah cetakan pertama, yang mula-mula mengajar kitab I'anatut Thalibin di dalam Masjid al-Haram ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, semua murid Sayid Abi Bakr asy-Syatha pada zaman itu termasuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas hadir dalam halaqah atau majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani itu.


PENULISAN, Syeikh Muhammad Mahfuz Termas termasuk salah seorang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menghasilkan karangan dalam bahasa Arab dan dikenali ulama antarabangsa sesudah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Hamid Kudus.

Semua karangan beliau dalam bahasa Arab disenaraikan sebagai berikut:

1. As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H, risalah ini terdiri daripada tiga bahagian tetapi yang saya miliki hanya sebuah saja. Kandungannya membicarakan senarai kitab karya-karya dalam Mazhab Syafie serta nama-nama ulamanya. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah (tanpa tahun).2. Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H.3. Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi/at- Tirmisi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Masyhad al-Husaini, No. 18 Syari' al-Masyhad al-Husaini, Mesir (tanpa tahun). Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.4. Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Daripada kitab ini dapat kita buktikan bahawa ulama yang berasal dari dunia Melayu berkemampuan menulis ilmu hadis yang demikian tinggi nilainya kerana kitab ini menjadi rujukan ramai ulama antarabangsa terutama ulama-ulama hadis. Dicetak oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, 1352 H/1934 M. Cetakan dibiayai oleh Syeikh Salim bin Sa'ad bin Nabhan wa Akhihi Ahmad, pemilik Al-Maktabah An-Nabhaniyah Al-Kubra, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, belum diketahui tarikh penulisan. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. Yang ada di tangan saya masih dalam bentuk manuskrip merupakan salinan Haji Ahmad Dahlan bin Muhammad Minhaj, tokoh ulama Selangor. Menurutnya disalin daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Menurut riwayat bahawa kitab ini terdiri daripada 13 bahagian.


Selain yang ada dalam koleksi saya seperti tersebut di atas, masih terdapat karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang ditulis oleh Sayid `Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan, ialah sebagai berikut:


6. Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.7. Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.8. Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.9. Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.
10. Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah, Syeikh Yasin Padang menyebut bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Majidiyah, Mekah, tahun 1330 H.
11. Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'.

Masih banyak judul yang belum dapat diperkenalkan, menurut riwayat bahawa karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas semuanya sekitar 20 judul atau pun lebih.


KESIMPULAN, Daripada semua yang dipaparkan di atas saya berkesimpulan bahawa daripada sekian banyak ilmu, yang paling menonjol untuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas ialah dalam semua bidang ilmu hadis, seumpama ilmu Dirayah Hadits atau Mushthalah Hadits, Rijal Hadits dan lain-lain. Beliau juga seorang yang hebat dalam fikah Syafi'iyah dan pelbagai jenis ilmu qiraat dan tajwidnya.


Tuan Mukhtar bogor `Ulama' ahli syari'at dan haqiqat,

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DI MEKAH pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama bagi masyarakat dunia Melayu.


Yang pertama, ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi (1276 H/1860 M - 1334 H/ 1916 M).


Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305 H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan ini, nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri al-Batawi al-Jawi. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13 Julai 1930 M.


Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M. Sungguh pun Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi.

Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.PendidikanBeliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama tentang al-Quran sekali gus beliau hafiz kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299 H/1881 M melanjutkan pelajarannya di Betawi/Jakarta, belajar kepada al-Allamah al-Habib Utsman bin Aqil bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan Rasulallah s.a.w tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang pelbagai. Matan-matan itu ialah: Matn al-Milhah, Matn al-Alfiyah dan Matn al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahu. Matn al- Ghayah wa at-Taqrib, Matn al-Irsyad, Matn az-Zubad semuanya dalam fikh dan termasuk juga akidah.


Ketika belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat ilmu Qiraat.Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad, yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayid Muhammad Amin bin Sayid Ahmad ar-Ridhwan al-Madani, Sayid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayid Umar Syatha, Sayid Abdul Karim an-Naji ad-Daryandi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Mushthafa Afifi dan Syeikh Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikh).


Guru-guru yang lain beliau sebut pula Syeikh Muhammad al-Minsyawi, Sayid Umar as-Syami, Sayid Husein al-Habsyi, Sayid Yusuf an-Nabhani, Sayid Muhammad bin Ja'afar al-Kattani dan Syeikh Abdul Qadir al-Halabi.Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang sekali gus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu pengarang kitab I'anatuth Thalibin itu.

Kitab fikh Mazhab Syafi'ie yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayid Abu Bakri asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail al-Amani tentang nahu. Yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah.


Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi. Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayid Husein bin Sayid Muhammad al- Habsyi dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.MengajarDalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktik mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung lagi.


Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama. Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah.


Sesudah Asar mengajar kitab Ihya' Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri. Setiap malam Jumaat, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis zikir dan doa yang ramai manusia menyertai majlis itu. Setiap selesai melakukan zikir dan doa diiringi dengan jamuan makan secara berjemaah. Selain melakukan zikir dan doa berjemaah Tuan Mukhtar Bogor memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak membaca selawat atas Nabi s.a.w, banyak membaca al-Quran dan lain-lain sejenisnya.

Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca al-Quran sebagai amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan zikir-zikir jenis Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekali gus diberi makan dan pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.


Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayid Muhsin bin Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat terkenal), Kiyai Haji Hasyim al-Asy'ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia, Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayid Muhammad Ahyad bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama Kajang (1324 H/1908 M - 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi.


Sewaktu artikel ini saya tulis masih ramai murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup, di antaranya di Malaysia ialah Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman (Pimpinan Pondok Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih ramai di Patani, Indonesia dan di Mekah. Semua murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup pukul rata yang berusia melebihi usia 80 tahun ke atas.PenulisanSyeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.


Yang telah diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:


1. Taqribul Maqshad fil Amali bir Rub'il Mujaiyab, diselesaikan hari Khamis, 15 Syaaban 1308 H.Kandungan membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip salinan yang ditemui, pada akhir salinan dinyatakan, ``Saidi wa Ihsan Haji Abdur Rahman bin al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh al-Jawi min ahali al-Juhur Baharu''. Maksudnya Saidi dan Ihsan bin Haji Abdur Rahman bin Haji Ibrahim, Khathib Melabuh yang berasal dari kekeluargaan Johor Bahru. Salinan telah dilakukan pada tengah hari Rabu, 15 hari terakhir bulan Rejab 1313 H.

2. Ushulud Din I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Khamis, 24 Zulkaedah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.


3. Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah fi Bayani Itsqati ma'alal Maiyiti minal Huquqi was Shiyam was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidiyah sembahyang, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.


4. As-Shawa'iqul Muhriqah lil Auhamil Kazibah fi Bayani Hillil Baluti war Raddu `ala man Harramahu, diselesaikan: Malam Isnin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1329 H

5. It-hafus Sadatil Muhadditsin bi Musalsalatil Ahaditsil Arba'in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Jumadilawal 1345 H Ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.


6. Khutbah al-Jumaat, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jumaat, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan.

7. Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenya-taan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki, 1330 H.


8. Mukhtashar Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah al-'Arabiyah, Mekah, 13/2/1352. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahawa beliau telah mencantumkan 30 hadis berserta dengan syarahnya di dalam kitab tersebut

1 comment:

  1. ass.... apa yg di maksud tuan mukhtar adalah raden haji muhammad mukhtar bin raden natagara atau muhammad mukhtar atharid atau itu-itu juga orangnya??

    ReplyDelete

siaran langsung dari madinah al-munawarah