Takhrij Hadith Qunut Subuh
oleh Dr Mohd Murshidi Mohd Noor(PhD di Bidang Hadith dari Universiti Malaya)
Terdapat sesetengah pihak yang menganggap bahawa qunut pada waktu Subuh adalah bid`ah. Ini kerana terdapat riwayat daripada Ibn `Abbas yang mengatakan bahawa qunut Subuh adalah bid`ah, tetapi riwayat ini adalah daif menurut al-Bayhaqi. [Nasb al-Rayah Fi Takhrij Ahadith al-Hidayah, j. 3, h. 183]. Oleh itu, di dalam artikel ringkas ini, penulis akan takhrij hadith yang berkaitan dengan qunut Subuh agar nampak terang dan nyata bahawa apa yang kita amalkan kini adalah bertepatan dengan hadith Nabawi. Metodologi takhrij hadith yang digunakan ialah menerusi Maktabah Shamilah. Objektif takhrij dilakukan adalah untuk mendapatkan kesemua periwayatan yang berkaitan dengan hadith yang digunakan di dalam mazhab Shafi`i bagi mengisbatkan bahawa sememangnya terdapat riwayat yang kuat berkaitan dengan qunut Subuh.
Takhrij Hadith Qunut Subuh
Riwayat yang menyebutkan mengenai Nabi s.a.w. tidak meninggalkan qunut Subuh sehingga baginda s.a.w. wafat ialah riwayat yang datang daripada Abu Ja`far al-Razi daripada al-Rabi` daripada Anas. Ianya terdapat di dalam al-Sunan al-Kubra Li al-Bayhaqi, Musannaf `Abd al-Razzaq dan Musnad Ahmad. [al-Sunan al-Kubra Li al-Bayhaqi, j. 2, h. 201; Musannaf `Abd al-Razzaq, no. hadith 4964, j. 3, h. 110; dan Musnad Ahmad bin Hanbal, no. hadith 12679, j. 3, h. 162].
Terdapat perbezaan pandangan antara ulama hadith berkaitan dengan status hadith ini. Di dalam karya Tahdhib al-'Athar Li al-Tabari, pengarangnya menyebutkan bahawa riwayat ini adalah sahih. [Tahdhib al-'Athar Li al-Tabari, j. 6, h. 240]. Begitu juga dengan al-Daraqutni, al-Hakim dan al-Bayhaqi, mereka turut mensahihkan riwayat ini. [Taqrib al-Asanid Wa Tartib al-Masanid, j. 1, h. 29]. al-Haythami di dalam karya Majma` al-Zawa'id Wa Manba` al-Fawa'id mengatakan bahawa para perawinya dithiqahkan oleh ulama hadith. [Majma` al-Zawa'id Wa Manba` al-Fawa'id, j. 1, h. 315]. Namun, menurut Shu`ayb al-Arna'ut ketika mengulas hadith yang terdapat di dalam Musnad Ahmad, beliau mengatakan sanad hadith ini adalah daif. [Musnad Ahmad bin Hanbal, no. hadith 12679, j. 3, h. 162]. Pandangan yang diberi oleh Shu`ayb al-Arna'ut ini bersesuaian dengan pandangan al-Nasa'i dan al-Daraqutni. Di dalam karya al-Ilmam Bi Ahadith al-Ahkam, Abu al-Fath Taqi al-Din mengatakan bahawa al-Daraqutni berpandangan Abu Ja`far al-Razi merupakan seorang yang saduq tetapi buruk dari sudut hafalan. al-Nasa'i pula berpandangan Abu Ja`far al-Razi bukanlah seorang perawi yang kuat untuk dipegang periwayatannya. [al-Ilmam Bi Ahadith al-Ahkam, j. 1, h. 59]. Terdapat satu pandangan yang agak keras iaitu yang datang daripada al-Albani di mana beliau mengatakan bahawa riwayat bagi hadith ini adalah mungkar. [al-Silsilah al-Da`ifah, j. 3, h. 237].
Walaupun dikatakan daif oleh sekumpulan ulama hadith, terdapat lagi riwayat lain yang boleh membantu periwayatan ini iaitu riwayat yang datang daripada Shu`bah daripada `Amru bin Murrah bahawa ia berkata: Aku mendengar Ibn Abi Layla menceritakan daripada al-Barra' daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda qunut pada waktu Subuh. Al-Aswad pula berkata: Aku solat di belakang `Umar sama ada ketika musafir atau bermustautin. Aku tidak kira berapa kali aku solat di belakang beliau. Beliau qunut ketika solat Subuh. {Sharh al-Sunnah Li al-Baghawi, j. 1, h. 463]. Selain daripada `Umar, Abu Hurayrah turut meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. qunut pada waktu Subuh. [Sharh Ma`ani al-'Athar, j. 1, h. 246].
Berdasarkan kepada perbezaan pandangan mengenai status hadith di atas, maka tidak mustahil berlakunya khilaf di kalangan ulama mengenai qunut Subuh. al-Hazimi mengatakan bahawa berlaku perselisihan pendapat di kalangan orang ramai mengenai qunut Subuh. Kebanyakan sahabat termasuk empat orang khalifah, tabiin, ulama selepas mereka sehingga hari ini berpandangan bahawa qunut Subuh sememangnya ada di dalam Islam.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada takhrij hadith yang dilakukan terhadap hadith qunut Subuh, maka terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama hadith mengenai statusnya. Mazhab Shafi`i mengambil hadith ini sebagai dalil kerana terdapat satu riwayat yang jelas menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan qunut Subuh sehingga baginda s.a.w. wafat. Walaupun riwayat ini diperselisihkan di kalangan ulama hadith akan statusnya, namun terdapat shawahid yang menyokongnya seterusnya kebanyakan sahabat, tabiin, termasuk para ulama selepas mereka mensabitkan bahawa sememangnya qunut Subuh terdapat di dalam Islam. Ianya bukan bid`ah. Wallahua`lam.
No comments:
Post a Comment